Login  |  Register
 
You are here September 06, 2010  
MAJLIS MERAIKAN KEPULANGAN PEGAWAI/ANGGOTA BERTUGAS MISI PBB  

Sepang - 11 Jun 2009. YDH P/SAC II Dato' Aishah binti Mohammad, Penolong Pengarah Perkhidmatan (Rekod Personel) bersama Pegawai-pegawai Kanan Polis telah menyambut ketibaan Pegawai/Anggota Bertugas Dari Misi PBB Sudan- UNAMID (Darfur) yang tiba dari Bahrin dengan penerbangan GF 702 di Bilik VIP KLIA hari ini.

Seramai 9 pegawai dan 16 anggota selamat tiba dengan diketuai oleh Ketua Kontinjen G-24, SUPT. Ooi Kee Lin. Pegawai dan anggota ini mula berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu selama 12 bulan mulai 10 Jun 2008 hingga 11 Jun 2009 di misi UNAMID (Darfur).

Polis Diraja Malaysia telah menyertai Misi Pengaman PBB dengan memulakan penghantaran pertama seramai 14 orang pegawai dan anggota di Angola pada 13 Ogos 1991. Seja dari tarikh tersebut, selaras dengan keputusan kerajaan Malaysia untuk menyahut permohonan dari PBB supaya menyumbang pegawai dan anggota PDRM bertugas di misi-misi pengaman di negara-negara bermasalah, PDRM telah menghantar seramai 2,796 orang pegawai dan anggotanya berkhidmat di duabelas buah negara seperti Angola, Sahara, Somalia, Croatia, Sierra Leone, Afghanistan, Kemboja, Mozambique, Kosovo, Bosnia & Herzegovina, Timor Leste dan Sudan.

Pada masa ini masih terdapat 237 orang pegawai dan anggota yang sedang berkhidmat di 2 buah negara iaitu Timor Leste FPU (Formed Police Unit), 140 orang pegawai dan anggota dari Briged Tengah PGA, Timor Leste UNPOL (UN Police), 75 pegawai dan anggota dan Sudan UNPOL (UN Police) seramai 22 pegawai dan anggota.

Dalam ucapan amanat YDH Pengarah Pengurusan yang dibaca oleh YDH P/SAC II Dato' Aishah binti Mohammad, beliau berharap pengalaman serta ilmu pengetahuan yang baik yang ditimba selama berada di Sudan dapat dikongsi bersama rakan-rakan seperjuangan di dalam pasukan khususnya.
"Peluang yang diperolehi semasa berkhidmat di Misi Pengaman PBB, percampuran dengan pegawai-pegawai polis dari serata dunia dan mengenali budaya masyarakat negara asing akan menjadikan diri pegawai dan anggota lebih dinamis, matang dan bertanggungjawab", kata beliau lagi.

Misi Pengaman di Sudan ini juga mencoretkan peristiwa dimana ASP Saufi Anuar bin Abdullah yang bertugas di Team Site Zamzam Sektor Utara Darfur telah diserang oleh pemberontak sewaktu konvoi sedang menuju untuk menjalankan siasatan satu kejadian. dalam serangan pemberontak itu, dua UNPOL dari negara lain telah terkorban tetapi ASP Saufi Anuar tidak mengalami sebarang kecederaan dan selamat. Sementara itu D/Kpl Aminuddin bin A.Majid telah meninggal dunia pada 9 Oktober 2008 semasa bercuti di Alor Star akibat disyaki menghidap demam malaria semasa di Sudan.

PROGRAM COMMUNITY POLICING BERSAMA MASYARAKAT ORANG ASLI DESA TEMUAN  
 
 

Petaling Jaya - 6 Jun 2009. Program 'Community Policing' Bersama Masyarakat Orang Asli Desa Temuan telah disempurnakan oleh YDH ACP Arjunaidi bin Mohamad, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di Padang Desa Temuan, Damansara Perdana pagi ini.

Hadir sama dimajlis ini ialah Supt. Abd Razak bin Elias, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Encik Ismael bin Chat, Tok Batin Desa Temuan, Dif-dif Jemputan, Pegawai-pegawai Kanan PDRM serta masyarakat setempat dan penduduk Orang Asli Desa Temuan.

Sejak kebelakangan ini, masalah sosial yang berlaku dikalangan masyarakat Orang Asli di kawasan ini telah dipaparkan melalui laporan khas oleh beberapa media massa yang mengambarkan seolah-olah masyarakat ini telah mengalami masalah sosial yang serius termasuk terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Program 'Community Policing' Bersama Masyarakat Orang Asli Desa Temuan ini adalah yang julung-julung kali di adakan bersama masyarakat Orang Asli. Tujuan program ini adalah untuk memberi tumpuan kepada golongan ini dari segenap aspek meliputi hala tuju termasuk pendidikan  serta bakal menjadi 'Orang Tengah' dalam menyelesaikan banyak masalah yang membabitkan kaum pribumi itu.

Ketua Polis Daerah  serta warga IPD Petaling Jaya  juga berhasrat untuk memahami masalah kaum ini yang terhimpit dalam era pembangunan disekeliling mereka, terutama kepada remaja mereka yang telah terdedah dengan masalah sosial. Golongan ini juga didapati masih tidak boleh bersaing dengan pembangunan disekeliling mereka menyebabkan ada yang berputus asa yang akhirmya terdesak dan melibatkan diri dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Dengan adanya program ini, masyarakat Orang Asli dapat merasakan masyarakat sekeliling tidak pernah mempinggirkan mereka dan juga memberi semangat serta sedia memberi pertolonagn dan bantuan sekiranya diperlukan.

Pendekatan Polis Diraja Malaysia dalam 'Kepolisan Masyarakat' semasa program ini ialah dengan menggabungkan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk bersama-sama bersatu tenaga menjayakan beberapa acara yang telah diaturkan. Agensi-agensi yang terlibat ialah :-
1.  Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (IHEOA)
2.  Persatuan Orang Asli malaysia (POASM)
3.  Majlis bandaraja Petaling Jaya (MBPJ)
4.  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
5.  Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN)
6.  Jabatan Belia dan Sukan Negara
7.  Kementerian Kesihatan
8. Jabatan Tenaga dan Sumber Manusia
9. Pejabat Pelajaran Daerah Petaling

Desa Temuan Bukit Lanjan, Damansara Perdana meliputi keluasan 9,027 hektar yang mana jumlah penduduknya ialah 945 orang. Di Desa Temuan, kemudahan asas yang  telah didirikan ialah sebanyak 147 unit rumah banglo, 130 unit rumah pengsapuri, 6 unit rumah kedai, surau, balairaya, dewan serbaguna, sekolah, taman permainan dan juga Muzium Orang Asli.

Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan ialah acara sewang, pertandingan sumpit, pertandingan menarik upeh, tarik tali, pertunjukkan kawat kaki oleh Batalion 3 PGA, pertunjukkan Unit Berkuda dan Unit K9 PDRM, pertunjukkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pertunjukkan kebudayaan  serta mengadakan gerai-gerai pameran oleh PDRM dan lain-lain agensi kerajaan.